Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib
----------------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum Dato’ Seri.
Saya,
Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur
saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak
mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula
mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat
saya ini dibaca Dato’ Seri.
Dato’ Seri, saya ingin
memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan
saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar
semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di
bahagian Sukan semata).
Saya juga mampu membaca
suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’
di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar
di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku
yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.
Tidaklah
pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya
cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah
remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’
buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat
perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.
Izinkan
saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak,
seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja
seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang
InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’
Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara
yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah.
Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi
di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan
penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.
DASAR
Saya,
yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan
kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca
asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca
asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau
Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim,
neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan
saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?
Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?
Maaf
Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan
Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih
jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya
amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’
Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya.
Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.
Saban hari saya
dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada
dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya,
‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan
haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat
pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan
arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau
ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut.
‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara.
‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’
Seri, HILANG!
Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina
Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan
ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan
rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa
depan negara tercinta ini!?
PELAN TRANSFORMASI EKONOMI
Program
Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut
menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN
MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa
industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’
Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan
konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa
dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Kerajaan
Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala
Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota
Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada
RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu
menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal
2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.
Maka
menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab
malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak
pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000
pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’
Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan
pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.
Dato’
Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan
artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang
penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda
dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.
Izinkan
saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai
neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas
idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih
suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?
Yang Amat
Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan
Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini
bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’
berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja
semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah
Sahsiahnya.
Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan
‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang
dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan
bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan
menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk
menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada
pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai
kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?
IFF dan AURAT
Dato’
Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab
menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan
Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan
dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian
kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.
Dato’ Seri,
saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan
isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh
hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala
melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan
Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan
pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga
dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai
pemakaian di dalam Islam?
Saya dan rakan-rakan jadi jelak
dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar
untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah
berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak
pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri
berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa
segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri
meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?
JUDI
Bukan
sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian
lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan
di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan
Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?
Apakah
ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri
gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita
melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?
Apakah
Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan
cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia
memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang
mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?
Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?
KEMISKINAN dan HARGA NAIK
Dato’
Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi
Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang
mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.
Maka
tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM
10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak
perlu berjerih payah.
Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah,
ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat
kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan.
Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai
penilainya adalah pengurusan yang menghancur!
Dato’ Seri,
saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’
Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa
membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka
ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).
Kadang-kadang,
apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan
tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata.
Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan
sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak
dan keluarga.
Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu
bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat.
Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana
sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan
utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata
rakyat yang menanggungnya.
Rakyat benar-benar tersiksa
sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu
dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah
dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.
SUARA RAKYAT
Waktu
rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang
terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri
yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang
membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan
diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami
diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin,
Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.
Dan
menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami
sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di
jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh
melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.
Semuanya
adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan
negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan
ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat
diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk
kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang
kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang
kami rakyat lalui.
Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara
kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi
begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak
menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?
Dato’
Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan
rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri
memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun
dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan
segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’
yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi
membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.
Dato’
Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah
perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik
Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu
rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana
jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat,
kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali
sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat
membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi
penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?
Dan pernahkah
Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’
Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan
rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?
REFORMASI
Saya
dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya
pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami
berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk
memperbaiki keadaan punah ini.
Kaedah merubah itu 2 Dato’
Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri.
Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain
juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.
Jika sampai
masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih,
percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa
yang layak menerima undi kami nanti.
Tidak cukup dengan
itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan
kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran,
pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan
Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh
tempat tertinggi di negara ini.
Dato’ Seri, saya tidak
mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah
tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu
bersaudara?
Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai
kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke
pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana
mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada
silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih,
iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil
perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja
seperti saya.
Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini
ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin
lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati,
kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH
PENCAK KAMI!
Sekian, terima kasih.
p/s
- p/s : Salam alaik. Sila sebar-sebarkan untuk tatapan setiap remaja
dan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan. Demi ISLAM kita
berjuang..!!
No comments:
Post a Comment